Iklan Raya Astro Herman 2015 Menyentuh Perasaan

By Eppy Ismail - 1:29 PTG

Assalamualaikum J

Panas. Hirupan pertama untuk aku rasa. Hirupan kedua untuk aku hayati rasanya. Hirupan ketiga untuk aku nikmati kopi putih itu mengalir dari mulut ke kerongkong,membayangkan peristalsis sedang berusaha membenarkan kopi itu untuk terus mengalir jatuh hingga ke perut. Melegakan. Aku letakkan mug ke tepi sambil aku menyambung semula ketukan-ketukan di keyboard laptop. Sambil mengarang cerita yang belum berkesudahan. Waktu itu pukul 2.30 pagi dan aku masih aktif.

TV di hadapanku masih terang benderang,minta untuk ditonton. Aku tidak suka bekerja lewat malam dengan suasana yang sunyi sepi. Pasti ada saja imej makhluk-makhlus halus mempermainkan mindaku. Bodohnya rasa. Sebab itu aku buka saja TV. Menemankan malam-malam khayalku seorang diri dengan bunyi-bunyian TV. At least,dari TV yang aku tahu itu benda nyata,yang ku lihat dengan dua biji mata,yang tidak hilang semena-mena kalau-kalau aku pandang tempat lain. Sebelumnya,TV itu terpasang dengan sebuah drama TV swasta yang tak berapa nak best. Tetapi,sedang aku sibuk mengetuk-ngetuk keyboard,muncul satu iklan di kaca TV.

Pada awalnya,iklan itu berbunyi “This is a true story”

Memang betul pun true story. Iklan itu adalah iklan berkenaan dengan seorang bekas penagih dadah yang bernama Herman. Video dia dirakam dengan cara dia sedang menceritakan sesuatu kepada orang yang tersayang melalui pengalaman yang dilaluinya sepanjang proses pemulihan dirinya. Mungkin Herman ini dulu merupakan seorang penagih dadah yang tegar,sehinggakan dia berkata,dia sudah mampu mandi sendiri,makan sendiri dan bermain dengan rakan-rakan. Dalam video itu juga,dia memohon ampun kepada ayahnya dan kepada Pencipta iaitu Allah SWT,dalam solat lima waktu yang dikerjakan.

Sedutan iklan raya Herman 2015.
Sumber : www.astrogempak.com.my

Pada saat ini,mata aku sudah berkaca. Mungkin kerana faktor background muziknya yang begitu sayu,perasaan sedih bagai dilambung-lambung. Video yang telah dirakam tadi kemudiannya dipertontonkan kepada ayahnya sambil menyaksikan detik-detik pertemuan mereka berdua di akhir iklan. Ayahnya pun memaafkan anaknya atas kesilapannya yang lalu.

Terus-terang,aku terus terfikir. Bagaimanakah perasaan seseorang yang tidak menyayangi dan menghargai apa yang ada pada diri sendiri;pancaindera,nyawa. Bukankah itu suatu anugerah yang tidak ternilai harganya? Adakalanya aku sangat sedih dan hiba apabila melihatkan seseorang yang menyuntik najis dadah ke dalam tubuh badannya. Ditambah pula dengan persoalan,dia tidak sayangkah melihat tubuh badannya yang masih sihat dan senyuman yang masih menawan ketika muda-muda dulu?

Bayangkan ibu bapa pula. Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak. Kalau balik lambat sedikit,mesti sudah marah-marah. Marah itu bukan marah tidak bertempat. Inikan pula anaknya menagih dadah. Kalau aku di tempat mereka,hancur luluh hati. Pasti terkenangkan kembali saat-saat anak masih kecil,masih comel,dengan kulit yang masih bersih,tiada luka atau parut yang boleh melenyapkan tawa kecil dan senyum manis dari mulutnya. Pasti rindu saat itu. Dan kalau diberi pilihan,mahu kekal di zaman itu atau teruskan waktu berlalu,pasti mereka akan memilih untuk kekal di zaman itu,seandainya mengetahui nasib buruk bakal menimpa anak mereka.

Najis dadah bukanlah penawar untuk kejatuhan yang dialami dalam hidup,kalian. Ingatan untuk diriku juga. Seburuk mana pun hidup,sekencang mana pun dugaan dan kekalahan dalam hidup,kita masih ada tempat bergantung yang abadi iaitu Allah SWT. DariNya kita datang,kepadaNya jualah kita kembali. Kelegaan daripada dadah hanyalah sementara.

Ingatlah ibu bapa,bagaimana masa,harta bahkan nyawa yang mereka korbankan untuk membesarkan kita. Kita tidak akan mampu membalas jasa mereka,tetapi cukuplah dengan memberi hasil daripada jasa yang mereka telah taburkan. Berjaya,bangga mereka melihat kita. Jika rosak diri kita,kita mungkin hanya akan pekakkan telinga,tapi mereka? Mereka mungkin menanggung malu yang lebih besar dan hina ; umpatan,cacian,yang ternyata bukan perbuatan mereka sedangkan mereka sepenuh hati mendidik kita. Terluka mereka,tidakkah kesian? Kalau ada yang menyesal pernah melahirkan,jatuh derhaka kita.

Berat azabnya di neraka.

Peringatan juga untuk diri sendiri. Sayangi diri,sayangi keluarga. Allah pasti akan menggantikan kesedihan hari ini dengan kegembiraan yang lebih bermakna di masa akan datang. It’s just a matter of time. Bersabarlah.

Untuk melihat iklan ini,sila klik di (SINI)


Sedih pulak entri ni. Tsk tsk tsk. :’(

Much love,
@imsopipahhh xoxo

  • Share:

You Might Also Like

0 67 komplen