Menanti Berpayungan

By Eppy Ismail - 12:35 PTG


Lebat hujan waktu itu. Menunggu teduh di depan dewan kuliah,keseorangan. Aku lihat keliling. Dingin saja. Ada pun kereta parkir di pinggir jalan. Beberapa kali aku periksa telefon bimbit,tiada notifikasi. Sunyi. Sesunyi suasana. Sesepi hati. 

Aku lihat keliling lagi. Dari jauh,samar-samar. Aku lihat suatu kelibat hitam. Berjalan sambil berpayungan rona kelabu. Aku terfikir,alangkah bagusnya kalau orang itu adalah dia. Dia yang ingin ku lihat durja gembiranya. Dia dan riak kegirangannya. Dia dan senyumannya. Alangkah indahnya. Hujan-hujan begini,berpayungan sesama. 

Alangkah indahnya,hujan-hujan begini,kau tiba di sini. Menemaniku sambil kita bercerita minat dan suka kita yang tampak sama. Kau suka milo,aku pesan milo juga. Kau mahu sirap,aku pesan sirap juga. Aku pandang mata langit yang masih menangis. Mungkin menangisi waktu yang semakin suntuk untuk kita terus bercanda lagi. Seperti juga kita. Kau akan menjadi teman lama. Bila aku telefon lagi suatu hari nanti,nada cakap kau datar,gelak tawa kau hambar kerana banyak kisah kita yang kau terlupa. 

"Maaf,lambat reply. Aku terbangun. Nyenyak tidur hujan-hujan begini. Hehe. Kau masih di dk? Hati-hati ya balik dorm,"

Pesanannya masuk dan ku baca satu persatu. Angankan saja kisah berpayungan kita. Kau tak mungkin kunjung tiba. Hujan makin teduh. Aku beredar dan berlalu membawa hati kecewa.

  • Share:

You Might Also Like

2 67 komplen