Sabtu, 23 April 2016

Plot Twist Lepas SPM : KM Sarawak ke ASASI UNIMAS

Assalamualaikum :)

Disebabkan ada seorang hamba Allah yang inginkan jawapan tentang hidup aku selepas SPM lebih-lebih lagi ada entri tentang aku dapat tawaran ke KM Sarawak dulu, aku nak ceritalah yang sebenar ada plot twist berlaku masa tu. Hehe.

Aku sebenarnya tidak masuk ke KM Sarawak kerana beberapa hari setelah itu, keputusan UPU yang keluar menyatakan bahawa aku layak memasuki program ASASI SAINS HAYAT, UNIMAS. Jadi, memandangkan aku yang masa tu sangat memikirkan tentang jalan mana yang lebih mudah untuk masuk universiti, jadi aku pilih untuk memasuki ASASI UNIMAS daripada KM Sarawak.

Aku rasa aku ada tulis sedikit sebanyak juga entri aku masa dekat ASASI. Tapi aku tak ingat dekat mana. Korang godek je dekat entri dari bulan Jun 2014 sampai Mei 2015. Itu semua entri masa ASASI. Tak banyak juga. Kenangan kadang-kadang susah untuk digambarkan dengan kata-kata. Sebab aku ni, bila menulis, butir-butir kejadian tu agak terperinci. Kadang-kadang kalau nak cerita pasal makan tengah hari pun boleh panjang nya beribu-ribu perkataan.

Haha~

By the way, KM Sarawak pun ada keistimewaannya yang tersendiri. Pelajarnya memang belum ramai sebab infrastrukturnya yang masih belum lengkap sebab masih menumpang di SMT Sejingkat, Kuching. Tapi kalau niatnya hendak belajar bersungguh-sungguh, halangan itulah yang menjadikan kita seorang yang pejuang.

Nasihat saya kepada lepasan SPM, hmmm, apa eh? Lupa pulak. Duhh~

Serius aah, sejak masuk 20 ni, aku makin cepat lupa. Kadang-kadang tak ingat pun benda yang nak cakap 2 saat yang lalu T_T

Okayylah. Pa pe roger,okayy? Kita ada banyak assignment menunggu.

Much love,
@imsopipahhh xoxo

Sabtu, 5 Mac 2016

Masih Daku Terkenang-Kenang

Assalamualaikum

Mungkin tidak patut aku katakan ini pada saat ini. Saat yang masih terlalu awal untuk aku andaikan sesuatu tentang perasaanku sekarang ini. Teman-teman aku malah berkata bahawa aku sudah melupakan hal-hal yang lama sangat cepat. Mungkin barangkali aku sudah makan hati berulam jantung sedari dalam perhubungan dulu lagi. Jadi, aku putuskan untuk teruskan hidup baru. Hidup yang penuh harapan dan cita-cita. Hidup yang bakal aku citrakan dengan kisah dan kenangan yang tidak akan aku lupakan sampai aku tua.

Namun, tentang perasaanku saat ini. Mengapa ya? Adakah aku sudah semakin lupa pada cita-cita dan citra yang ingin aku ronakan pada setiap helai-helai hidupku selepas ini? Tidak juga. Aku sangat gembira untuk melalui hari-hari baru di kampus. Bahkan proses belajar menjadi semakin indah bagiku. Mungkin kerana niat yang sudah aku perbetulkan setelah memasuki fasa baru pengajian tahun satu. Tetapi terjebak dengan perasaan ini, sesuatu yang tidak dapat aku elakkan. Tanpa ada orang yang menolakku dari tepi, belakang atau bahkan dari depan, aku terjatuh sendiri. Sukar untuk aku katakan tetapi perasaan ini datang dengan kurnia dariNya.

Setiap hari aku terkenang akan dia. Walaupun aku tahu, tidak mudah menemuinya selalu kerana tidak ada urusan yang serius seperti sebelum ini, bukan sekadar bicara kosong tanpa berisi, apatah lagi bicara bertemankan secawan kopi. Tambahan, dia juga pasti sedang sibuk menyiapkan thesis agar bisa bergraduat sebagai master hujung November ini. Sejak hari itu, aku tidak lagi melihatnya. Aku juga berharap agar menemuinya lagi, di mana-mana saja tempat yang diredaiNya. Aku ambil tahu tentangnya. Aku lukis wajahnya kerana di situ aku curahkan perasaanku. Terselit jua hasrat untuk aku membuang perasaan di dalam sebuah potret yang tidak seberapa tetapi bahkan semakin aku tenung, semakin dalam hati aku terlarut. Sukar sekali. Aku tidak pasti bahawa dia sudah dipunyai orang atau sebaliknya. Tetapi yang jelas sekarang perasaan ini adalah jelas kepunyaannya. 

Aku meminta kepada Allah dalam setiap sujudku, setiap waktu-waktu yang aku tahu mustajab untuk berdoa. Aku panjatkan doa agar jika benar dia adalah jodohku, permudahkanlah urusan untuk aku bertemu jodoh dengannya. Berdoa agar iman aku tidak terguncang, dibuka pintu harapan dari hatinya untuk aku, manusia yang mencintai permata di langit. Namun, atas pengetahuan Allah yang maha luas dan tiada keraguan, aku serahkan perasaan ini untuk dilupuskan dari segenap lubuk jiwa seandainya perkenalan aku dan dia nanti, hanya akan memudaratkan aku. Dalam erti kata lain, tiada berjodoh. 

Aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat tetapi ada suatu perasaan yang menghalang aku untuk berbuat demikian. Perasaan takut. Takut akan masa lalu yang mungkin akan mencabul aku sekali lagi. Tetapi sekadar berdoa dan menunggu ibarat bulan jatuh ke riba juga bukanlah satu-satunya penyelesaian total. Aku akan cuba mendekatinya juga. Pada sisi lain, aku sangat mengaguminya. Satu hari nanti, mungkin aku akan tandingi apa yang pernah dia kecapi sekarang. Namun, tatkala aku semakin kuat berdoa, semakin aku tidak dapat melupakannya walaupun sesaat. Semakin kuat rintihanku tentangnya kepada Penciptaku, semakin jelas pula bayangan wajahnya di fikiranku. Adakah ini sesuatu yang benar atau hanya duga-duga syaitan agar aku leka? Wallahualam. 

Semoga saja aku semakin kuat mengingati Allah.


Much love,
@imsopipahhh xoxo

Khamis, 3 Mac 2016

Entri Tengah Malam

Assalamualaikum. :)

Kebelakangan ini, aku banyak melakukan refleksi diri. Mengapa begini, mengapa begitu. Kadang-kadang terjawab beberapa soalan yang tidak mampu aku jawab untuk diri sendiri. Salah satunya, tentang aib diri.

Walau sekecil mana pun keaiban diri kita, jangan sampai didedahkan pada orang lain. Ia menandakan bahawa kita berbangga dengan kemaksiatan dan dosa-dosa yang pernah kita lakukan sedangkan ia adalah sesuatu yang amat dikeji oleh Allah SWT. Aku mengulang balik saat aku masih berkawan rapat dengan seseorang pada suatu ketika dahulu. Kerana terlalu percayakan dia, antara kami sudah tiada rahsia. Dia tahu segalanya tentang aku. Aku tahu segalanya tentang dia.

Benar kata orang. Benda yang buruk orang akan selalu ingat. Benda yang baik senang dilupakan, lagipula benda baik hanya menjadi kenangan dan ingatan untuk tuan punya badan. Kita hanya mendengar tetapi selalunya tidak mengambil iktibar. Kerana itu kita selalu lupa walaupun petunjuk dalam peristiwa baik mahupun aib orang telah dikhabarkan pada kita.

Kini kami masih berkawan baik tetapi tidak serapat dahulu. Satu lagi kebenaran yang manusia canangkan aku akui - serapat-rapat kita dengan seseorang, suatu hari nanti, apabila renggang, akan renggang serenggangnya. Hal itu benar belaka. Dia mungkin pernah membongkarkan aib aku pada orang lain, kalau-kalau dia sudah tidak punya modal lain untuk dijadikan gosip harian. Tetapi harapnya dia tidak memperlakukan aku sedemikian rupa. Bersangka baik. Tetapi aib dia, aku sudah lupakan. Aku ingat satu tetapi setiap kali aku teringat, aku mengingatkan diri aku sendiri bahawa Allah mendengar apa yang ingin aku perkatakan, melihat apa yang aku lakukan. Aku membongkarkan aib orang lain, Allah akan membongkarkan aib aku jauh lebih buruk dari apa yang pernah aku bongkarkan. Wallahualam.

Harapnya aku sentiasa beringat dalam melakukan apa jua perkara. Aku sedang memperbaiki diri untuk menjadi orang yang lebih baik. Aku menyimpan aib-aib orang tetapi kebanyakannya aku sudah hanyutkan ke laut dalam. 

Apa-apapun, tetap cool dan stay positif,okayy? Senyum selalu. Awet muda.

Much love, 
@imsopipahhh xoxo

Rabu, 2 Mac 2016

Ganjaran Lebih Bermakna untuk Orang-Orang yang Sabar

Assalamualaikum.

Pada Ahad lepas, aku telah menyertai saringan untuk pemilihan wakil UNIMAS ke pemilihan wakil Malaysia PABM 2016. Dalam saringan tersebut, hanya dua orang peserta yang berentap untuk merebut tempat menjadi wakil tunggal UNIMAS. Aku dan saudara Nikman, senior Fakulti Sains Sosial Tahun Dua. Dia sudah berusia 30 tahun namun mempunyai semangat juang yang tinggi dan sihat. Alhamdulillah. 

Aku telah memilih tajuk "Ilmu : Sebuah Perjalanan Menuju Kecemerlangan" di bawah tema Kepentingan Pendidikan. Aku memilih tajuk ini kerana aku telah hidup dalam didikan kedua ibu bapa ku yang begitu mementingkan pendidikan dalam kehidupan. Kata mereka, hidup tidak berilmu tidak ada gunanya. Aku dibesarkan dengan prinsip bahawa pendidikan adalah satu-satunya perkara yang tidak harus dikebelakangkan. 

Pada awal penyertaan, aku buntu kerana aku semestinya memerlukan pertolongan daripada senior De'Orator, Kelab Debat dan Pidato UNIMAS, untuk memberi aku sedikit sebanyak panduan. Aku sudah lama tidak berpidato. Jadi aku usahakan untuk mencari seorang senior yang mampu menolong aku. Aku hubungi Abang Azrai kerana aku tahu dia seorang yang petah berkata-kata, mungkin mampu membantu. Namun, dia jujur memberitahu aku bahawa dia tidak arif dalam pidato. Mungkin aku boleh meminta pertolongan Abang Adi atau Kak Erisya, 

Abang Adi atau Kak Erisya?
Abang Adi?

Menurut rakan aku yang pernah dilatih oleh Abang Adi, dia sangat..hmm..garang. Katanya. Jadi, pada mulanya aku sedikit ragu-ragu untuk meminta pertolongan dari beliau. Namun demikian, aku gigihkan juga untuk whatsapp beliau, setelah nombor telefon diberi oleh Abang Azrai. Tapi dalam pada masa yang sama, aku juga whatsapp Kak Erisya. Boleh aku manfaatkan ilmu dari kedua-dua belah pihak. Tapi, hanya satu pihak yang sudi membantu aku walaupun aku ini tidak dikenalinya. Tambahan pula, aku ini adalah super super super junior, yang aku ibaratkan diri ini umpama pengemis yang mengemis ilmu dari orang yang berilmu. Sedih rasanya apabila tidak dipedulikan tapi alhamdulillah, kegembiraan itu datang serta merta apabila ada yang sudi. 

Abang Adi pada mulanya bluetick saja. Aku pada waktu itu sudah mula kecewa. Tapi kekecewaan itu terubat setelah beberapa hari, dia membalas bahawa dia agak sedikit sibuk dan memberitahu bahawa dia akan membincangkan perkara tersebut pada masa lain. Kami berjumpa buat pertama kali pada hari Isnin untuk memperbaiki teks yang telah aku karang. Kesalahan aku kebanyakannya pada pendefinisian tajuk, contoh yang tidak menarik. Jadi aku perbaiki. Setelah berjumpa buat kali kedua, beliau agak berpuas hati. Aku ingin demo keseluruhan termasuk cara penyampaian tetapi memandangkan aku belum hafal sepenuhnya, aku menarik balik hasratku untuk demo. Dan alhamdulillah juga, dia tidak segarang yang disangka. 

Pada hari saringan, aku tidak menyangka bahawa dia akan menjadi hakim juga bersama-sama Encik Hambali, orang besar dalam De'Orator. Aku telah buat yang terbaik tetapi mungkin nasib menyebelahi saudara Nikman kerana isinya yang lebih mudah difahami. Lagipula, aku pelajar tahun satu. Aku ada masa dua tahun lagi untuk menyerlah dan mencuba. Mungkin Allah ingin aku bersedia dengan lebih rapi kerana cabaran pada masa depan akan lebih hebat. Ya Allah, jadikanlah aku antara orang-orang yang sabar kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Mungkin ganjaran yang lebih besar menantiku. Aminn. Kalian doa-doakan aku. 

Di kesempatan ini juga, aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Abang Adi kerana telah memberi tunjuk ajar. InsyaAllah, segala pesanan abang tidak akan saya lupakan dan akan saya gunapakai untuk pertandingan yang akan datang. InsyaAllah, semoga Allah memberi kebaikan dan kejayaan di dunia dan di akhirat dan memelihara dari azab api neraka. 

Amiinn. 


Much love,
@imsopipahhh xoxo