Masih Daku Terkenang-Kenang

By Eppy Ismail - 1:43 PG

Assalamualaikum

Mungkin tidak patut aku katakan ini pada saat ini. Saat yang masih terlalu awal untuk aku andaikan sesuatu tentang perasaanku sekarang ini. Teman-teman aku malah berkata bahawa aku sudah melupakan hal-hal yang lama sangat cepat. Mungkin barangkali aku sudah makan hati berulam jantung sedari dalam perhubungan dulu lagi. Jadi, aku putuskan untuk teruskan hidup baru. Hidup yang penuh harapan dan cita-cita. Hidup yang bakal aku citrakan dengan kisah dan kenangan yang tidak akan aku lupakan sampai aku tua.

Namun, tentang perasaanku saat ini. Mengapa ya? Adakah aku sudah semakin lupa pada cita-cita dan citra yang ingin aku ronakan pada setiap helai-helai hidupku selepas ini? Tidak juga. Aku sangat gembira untuk melalui hari-hari baru di kampus. Bahkan proses belajar menjadi semakin indah bagiku. Mungkin kerana niat yang sudah aku perbetulkan setelah memasuki fasa baru pengajian tahun satu. Tetapi terjebak dengan perasaan ini, sesuatu yang tidak dapat aku elakkan. Tanpa ada orang yang menolakku dari tepi, belakang atau bahkan dari depan, aku terjatuh sendiri. Sukar untuk aku katakan tetapi perasaan ini datang dengan kurnia dariNya.

Setiap hari aku terkenang akan dia. Walaupun aku tahu, tidak mudah menemuinya selalu kerana tidak ada urusan yang serius seperti sebelum ini, bukan sekadar bicara kosong tanpa berisi, apatah lagi bicara bertemankan secawan kopi. Tambahan, dia juga pasti sedang sibuk menyiapkan thesis agar bisa bergraduat sebagai master hujung November ini. Sejak hari itu, aku tidak lagi melihatnya. Aku juga berharap agar menemuinya lagi, di mana-mana saja tempat yang diredaiNya. Aku ambil tahu tentangnya. Aku lukis wajahnya kerana di situ aku curahkan perasaanku. Terselit jua hasrat untuk aku membuang perasaan di dalam sebuah potret yang tidak seberapa tetapi bahkan semakin aku tenung, semakin dalam hati aku terlarut. Sukar sekali. Aku tidak pasti bahawa dia sudah dipunyai orang atau sebaliknya. Tetapi yang jelas sekarang perasaan ini adalah jelas kepunyaannya. 

Aku meminta kepada Allah dalam setiap sujudku, setiap waktu-waktu yang aku tahu mustajab untuk berdoa. Aku panjatkan doa agar jika benar dia adalah jodohku, permudahkanlah urusan untuk aku bertemu jodoh dengannya. Berdoa agar iman aku tidak terguncang, dibuka pintu harapan dari hatinya untuk aku, manusia yang mencintai permata di langit. Namun, atas pengetahuan Allah yang maha luas dan tiada keraguan, aku serahkan perasaan ini untuk dilupuskan dari segenap lubuk jiwa seandainya perkenalan aku dan dia nanti, hanya akan memudaratkan aku. Dalam erti kata lain, tiada berjodoh. 

Aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat tetapi ada suatu perasaan yang menghalang aku untuk berbuat demikian. Perasaan takut. Takut akan masa lalu yang mungkin akan mencabul aku sekali lagi. Tetapi sekadar berdoa dan menunggu ibarat bulan jatuh ke riba juga bukanlah satu-satunya penyelesaian total. Aku akan cuba mendekatinya juga. Pada sisi lain, aku sangat mengaguminya. Satu hari nanti, mungkin aku akan tandingi apa yang pernah dia kecapi sekarang. Namun, tatkala aku semakin kuat berdoa, semakin aku tidak dapat melupakannya walaupun sesaat. Semakin kuat rintihanku tentangnya kepada Penciptaku, semakin jelas pula bayangan wajahnya di fikiranku. Adakah ini sesuatu yang benar atau hanya duga-duga syaitan agar aku leka? Wallahualam. 

Semoga saja aku semakin kuat mengingati Allah.


Much love,
@imsopipahhh xoxo

  • Share:

You Might Also Like

0 67 komplen