Ganjaran Lebih Bermakna untuk Orang-Orang yang Sabar
By Eppy Ismail - 12:02 PTG
Assalamualaikum.
Pada Ahad lepas, aku telah menyertai saringan untuk pemilihan wakil UNIMAS ke pemilihan wakil Malaysia PABM 2016. Dalam saringan tersebut, hanya dua orang peserta yang berentap untuk merebut tempat menjadi wakil tunggal UNIMAS. Aku dan saudara Nikman, senior Fakulti Sains Sosial Tahun Dua. Dia sudah berusia 30 tahun namun mempunyai semangat juang yang tinggi dan sihat. Alhamdulillah.
Aku telah memilih tajuk "Ilmu : Sebuah Perjalanan Menuju Kecemerlangan" di bawah tema Kepentingan Pendidikan. Aku memilih tajuk ini kerana aku telah hidup dalam didikan kedua ibu bapa ku yang begitu mementingkan pendidikan dalam kehidupan. Kata mereka, hidup tidak berilmu tidak ada gunanya. Aku dibesarkan dengan prinsip bahawa pendidikan adalah satu-satunya perkara yang tidak harus dikebelakangkan.
Pada awal penyertaan, aku buntu kerana aku semestinya memerlukan pertolongan daripada senior De'Orator, Kelab Debat dan Pidato UNIMAS, untuk memberi aku sedikit sebanyak panduan. Aku sudah lama tidak berpidato. Jadi aku usahakan untuk mencari seorang senior yang mampu menolong aku. Aku hubungi Abang Azrai kerana aku tahu dia seorang yang petah berkata-kata, mungkin mampu membantu. Namun, dia jujur memberitahu aku bahawa dia tidak arif dalam pidato. Mungkin aku boleh meminta pertolongan Abang Adi atau Kak Erisya,
Abang Adi atau Kak Erisya?
Abang Adi?
Menurut rakan aku yang pernah dilatih oleh Abang Adi, dia sangat..hmm..garang. Katanya. Jadi, pada mulanya aku sedikit ragu-ragu untuk meminta pertolongan dari beliau. Namun demikian, aku gigihkan juga untuk whatsapp beliau, setelah nombor telefon diberi oleh Abang Azrai. Tapi dalam pada masa yang sama, aku juga whatsapp Kak Erisya. Boleh aku manfaatkan ilmu dari kedua-dua belah pihak. Tapi, hanya satu pihak yang sudi membantu aku walaupun aku ini tidak dikenalinya. Tambahan pula, aku ini adalah super super super junior, yang aku ibaratkan diri ini umpama pengemis yang mengemis ilmu dari orang yang berilmu. Sedih rasanya apabila tidak dipedulikan tapi alhamdulillah, kegembiraan itu datang serta merta apabila ada yang sudi.
Abang Adi pada mulanya bluetick saja. Aku pada waktu itu sudah mula kecewa. Tapi kekecewaan itu terubat setelah beberapa hari, dia membalas bahawa dia agak sedikit sibuk dan memberitahu bahawa dia akan membincangkan perkara tersebut pada masa lain. Kami berjumpa buat pertama kali pada hari Isnin untuk memperbaiki teks yang telah aku karang. Kesalahan aku kebanyakannya pada pendefinisian tajuk, contoh yang tidak menarik. Jadi aku perbaiki. Setelah berjumpa buat kali kedua, beliau agak berpuas hati. Aku ingin demo keseluruhan termasuk cara penyampaian tetapi memandangkan aku belum hafal sepenuhnya, aku menarik balik hasratku untuk demo. Dan alhamdulillah juga, dia tidak segarang yang disangka.
Pada hari saringan, aku tidak menyangka bahawa dia akan menjadi hakim juga bersama-sama Encik Hambali, orang besar dalam De'Orator. Aku telah buat yang terbaik tetapi mungkin nasib menyebelahi saudara Nikman kerana isinya yang lebih mudah difahami. Lagipula, aku pelajar tahun satu. Aku ada masa dua tahun lagi untuk menyerlah dan mencuba. Mungkin Allah ingin aku bersedia dengan lebih rapi kerana cabaran pada masa depan akan lebih hebat. Ya Allah, jadikanlah aku antara orang-orang yang sabar kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Mungkin ganjaran yang lebih besar menantiku. Aminn. Kalian doa-doakan aku.
Di kesempatan ini juga, aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Abang Adi kerana telah memberi tunjuk ajar. InsyaAllah, segala pesanan abang tidak akan saya lupakan dan akan saya gunapakai untuk pertandingan yang akan datang. InsyaAllah, semoga Allah memberi kebaikan dan kejayaan di dunia dan di akhirat dan memelihara dari azab api neraka.
Amiinn.
@imsopipahhh xoxo
0 67 komplen