karangan yang skema.
By Eppy Ismail - 12:11 PG
Assalam :)
Inilah contoh karangan yang skema. Memang sudah menjadi kebiasaan dan kemestian belajar BM yang perlu jadi orang skema bila dah tiba masa walaupun pecah fikiran nak cipta ayat,masih jugak rasa nak guna peribahasa,kosa kata yang haram jadah difaham orang bukan politik dan informasi yang even PM sendiri pun tak pernah nak ambik tahu..
AMARAN! KALAU TAK RETI NAK BACA HABIS,JANGAN BACA. NANTI TERMUNTAH DEPAN LAPPY,SAYA YANG MENANGGUNG DUSA...
Teknologi Hijau : Realiti Penyelamat Alam Sekitar
Oleh Nur Afifah Ismail
Gambar hiasan |
“ Tanam padi tumbuh lalang”
Memang tidak dinafikan,penggunaan sains dan teknologi serta kepesatan kemajuannya telah mendorong manusia untuk memanfaatkan alam sekelilingnya untuk terus menerus menghasilkan keperluan. Namun demikian,adakah kita sedar kesan negatif daripada aktiviti tersebut menyumbang kepada kemudaratan terhadap alam sekitar? Walaupun terdapat segelintir negara di dunia ini yang mengamalkan dasar teknologi hijau untuk mengurangkan kadar pencemaran,namun sehingga saat ini,majoriti rakyat di negara tersebut masih dapat diumpamakan seperti peribahasa di atas. Teknologi hijau membawa definisi penggunaan sumber yang lebih mesra alam dan kaedah ini dipercayai mampu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Protokol Kyoto yang dimeterai pada 16 Februari 2005 di Jepun merupakan permulaan kepada teknologi hijau ini dan seterusnya diikuti oleh pelbagai pendekatan lain dalam lingkungan yang sama. Persoalannya,sejauh manakah teknologi hijau mampu memelihara alam sekitar?
Sejak kebelakangan ini,masalah perubahan cuaca yang sangat drastik di seluruh dunia sangat membimbangkan. Hal ini adalah disebabkan oleh peningkatan gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh pelbagai sumber menyebabkan suhu dunia turut meningkat. Oleh yang demikian,salah satu cabang teknologi hijau yang telah dimanfaatkan ialah dasar meminimakan pelepasan gas karbon dioksida dan gas rumah kaca. Negara-negara maju seperti Jepun,Rusia dan Jerman telah bersepakat untuk mengurangkan jumlah pelepasan gas karbon dioksida melalui pembangunan teknologi hijau yang berkesan manakala negara-negara dunia kedua dan ketiga berperanan mengimbangi kitaran pelepasan gas karbon dioksida. Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC),dunia boleh mengurangkan kepekatan gas rumah hijau kepada tahap kurang daripada 450 bahagian per juta jika teknologi ini digunakan secara maksimum. Oleh itu,alternatif ini sudah tentunya dapat menurunkan suhu dunia sekaligus mengelakkan fenomena seperti El-Nino umpama datang tak dijemput,pulang tak dihantar.
Selain itu,kita dapat menyaksikan banyak pencemaran alam sekitar serta masalah pembaziran telah mengorbankan aset-aset berharga dunia akibat perbuatan tangan manusia. Sehubungan dengan itu,amalan kitar semula merupakan satu langkah pragmatik dalam konteks teknologi hijau untuk memelihara alam sekitar. Dari segi pembuatan kertas,sebanyak 50 batang pokok ditebang untuk menghasilkan kertas dalam masa satu hari. Namun demikian,kita seharusnya bersyukur kerana program kitar semula bahan seperti kertas dapat menangani masalah ketandusan tanaman hijau. Di samping itu,di Australia,kerajaan negara tersebut juga telah melaksanakan dasar untuk menyekat penggunaan harian air penduduk daripada 100 liter sehari kepada 54 liter sehari. Hal ini dapat menjimatkan kos terutamanya dalam memulihkan air kumbahan. Maka,secara langsung,hal ini dapat memelihara kecekapan penggunaan tenaga melalui amalan kitar semula seperti yang telah dilaksanakan oleh Syarikat Indah Water Konsurtium (IWK) di negara kita.
Di samping itu,penggunaan sumber tenaga alternative dan boleh diperbaharui merupakan salah satu inisiatif jangka masa panjang untuk memelihara alam sekitar. Tenaga – tenaga boleh diperbaharui seperti biojisim,tenaga solar dan geoterma berperanan sebagai pengganti kepada tenaga – tenaga yang mempunyai sumber yang semakin berkurangan. Negara Jerman telah mendominasi petak hadapan dalam kelompok negara pengguna tenaga boleh diperbaharui. Mereka telah memperkenalkan aruhan tenaga elektrik melalui pembinaan kincir angina dan penggunaan lampu jalan menggunakan tenaga solar fotovoltaik (PV). Dengan ini,tahap pencemaran dapat dikurangkan sekaligus dapat mengharmonikan alam sekitar kerana tidak terdapat bahan pencemar seperti kloroflorokarbon (CFC) digunakan. Tidak cukup dengan itu,kebaikan penggunaan teknologi hijau terhadap alam sekitar juga telah terbukti apabila Iceland yang terletak di Kutub Utara telah membina salah satu loji geotermanya yang terbesar di dunia pada tahun 2011 bagi memenuhi keperluan tenaga penduduknya. Jelaslah bahawa penggunaan sumber alternatif dan tenaga boleh diperbaharui dapat membantu memelihara alam sekitar daripada menjadi seperti rangka hidup segan,mati tak mahu.
Hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah pembudayaan teknologi hijau dalam sistem pengurusan dapat memelihara alam sekitar daripada terus diratah tanpa belas kasihan. Sistem pengurusan yang mesra alam sudah semestinya dapat menghasilkan produk yang bebas daripada unsur-unsur pencemar dan selamat digunakan. Amalan seperti ini sudah tentunya turut menjamin kemandirian ekosistem kerana sistem pembuangan sisa dikendalikan secara sistematik dan terancang. Dengan mengambil contoh terdekat seperti yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia,Skim Amalan Ladang Baik Malaysia telah diperkenalkan untuk memastikan ladang – ladang di Malaysia mengamalkan aspek-aspek mesra alam dalam proses pembuatan. Selain itu,sisa-sisa buangan dapat digunakan sebagai baja kompos di samping dibuang ke saluran yang betul. Maka,sistem pengurusan yang berteraskan konsep mesra alam ternyata berupaya untuk menjaga alam sekitar daripada terus menjadi mangsa kekejaman kemajuan.
Kesimpulannya,teknologi hijau bukan sahaja berkemampuan memelihara alam sekitar bahkan mampu menyumbangkan manfaat dari aspek lain seperti penjimatan dan kecekapan penggunaan tenaga. Namun demikian,semua pihak perlu berganding bahu untuk merealisasikannya,bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir. Sesungguhnya jika cita-cita murni ini tercapai,sudah tentu dunia akan lebih harmoni dan lestari. Terbukti,teknologi hijau bukan mimpi,tetapi penyelamat yang pasti.
0 67 komplen