Selasa, 24 Mac 2015

Kemenjadian Guru Asas Kecemerlangan Pendidikan

Assalamualaikum.

Lama dah rasanya aku tak mengarang teks pidato sebab kali terakhir aku buat pun masa aku Tingkatan 4. Haha. Sejak masuk sekolah menengah,kali pertama aku join Pidato Piala Diraja masa Tingkatan 2,cikgu aku tak pernah bagi subsidi nak buat teks untuk aku,jadi aku terpaksa jadi lawyer,cari info berkepuk-kepuk dalam library dan internet semata-mata nak buatkan teks pidato. Aku terlibat dengan pidato ni,asalnya dulu aku ni bidan terjun saja. Tapi terima kasih kepada Cikgu Anita,dia seksa aku sampai satu hari tu,aku menipu sunat cakap pening kepala tak nak datang traning sebab aku tak hafal lagi 13 teks pidato yang dia buatkan untuk aku. Dan alhamdulillah,legasi sampai state level dari sekolah rendah sampai sekolah menengah boleh carry on lagi sampailah takhta kat state level dirampas oleh budak Limbang bernama Bibi Amierra masa aku Tingkatan 5. Ciss. Itupun aku tak join sebab komitmen dengan pesta pantun state level. Komitmen konon. Haha. Hakim bapuk yang bias. Sah-sah KTDTHB tak jawab dua pantun,boleh bawa beza 100 markah kalau kalah,itupun dorang jugak yang menang. KLMJ pulak aku dibuatnya. Nasib baik busana cantik. Kisah sekolah rendah dulu,teks-teks spontan pun hafal. Tapi masuk sekolah menengah,pidato spontan? Bantai jak. Baca facts banyak-banyak. Goreng atas pentas. LOL. Haha.

KLMJ kejap. 

Dari kiri : Budak Rosli Dhobi aku tak ingat nama dia,tengah Ayu Rosita (sekarang
JPK Kolej Cempaka kat UNIMAS,budak industrial design FSGK),Afifah
(budak JPPPU Asasi UNIMAS 5th batch yang pop,poyo dan kontemporari)

GST dah nak stat 1 April ni. Jadi,apa tunggu lagi? Sapa yang nak kawen tu,
kawen cepat yerr..

Tuan-tuan dan puan-puan,berhenti di lampu trafik merah fikiran anda. Buatlah
keputusan yang bijak. Masuklah Asasi UNIMAS. Tak perlu bayar apa-apa. Bawa
kain baju saja. Haha.
Sekpa-sekpa,kata orang Sarawak. Disebabkan tiada subsidi teks dulu,aku belajar berdikari dan sekarang mengambil upah free untuk classmate aku yang nak bertanding pidato kat IPG. Kalau aku tahu bukan dia yang bertanding,atau dia kasi teks ni kat awek dia yang nak bertanding,memang nak kena makan dengan silat panda lah dia tu. Saudara Arie,sila manfaatkan kebaikan hatiku disebabkan kita dah lama geng. Aku tak study lagi maths ni,Rabu ni ada test 2,kalau bawah 50,matilah aku mintak-mintak tak repeat sem 2 asasi. So,jangan ambil kesempatan. 

Sorry pok,aku curi gambar kau. Mun tetiba awek kau 
come across entri tok,muka kau dah terpampang 
kat situk,maknanya kantoilah mun ko bulak madah ngannya
yang kau molah teks. Aha!


Tajuk : Kemenjadian Guru Asas Kecemerlangan Pendidikan


Salam Sejahtera.
Terima kasih peneraju acara, dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam integrasi nasional dan salam 1Malaysia.

Kemenjadian Guru Asas Kecemerlangan Pendidikan. Begitulah bunyinya mauduk pidato yang disajikan buat santapan  minda warga merdeka. 

Secara konotasinya,Standard Guru Malaysia (SGM) merasionalkan seorang guru yang kompeten sebagai mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Maka,jika istilah kemenjadian seorang guru saling melengkapi karakter yang digariskan secara holistik,sudah tentu satu acuan untuk mencapai kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia telah tersedia.

Cuma,persoalannya sekarang adalah,bagaimana?

Maka, hayatilah cetusan minda, pragmatik pertama;
Guru Berintegriti Merapatkan Jurang Pendidikan.

Hadirin sekalian,

Dalam teras Merapatkan Jurang Pendidikan, integriti merupakan asas kepada kecekapan sistem penyampaian bantuan dan pembelaan terutamanya terhadap golongan yang miskin, berkeperluan khas dan yang tinggal di lokasi yang lebih terkebelakang dan terpencil. Jurang tidak mungkin bisa dihapuskan,namun adalah suatu kemestian bahawa jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dan pelajar di bandar tidak kelihatan terlalu realistik kerana itu adalah penanda aras keberkesanan sistem pendidikan negara. 

Justeru, gerakan memperkasakan integriti guru wajar ditatang bagai minyak yang penuh. Penerapan elemen jati diri melalui topik Pendidikan Negara Bangsa Malaysia dan Tatanegara Sivik Kewarganegaraan bagi pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) diperkukuhkan,Program Bina Insan Guru diperhebatkan dan elemen integriti dibudayakan oleh warga pendidik sepertimana yang telah termaktub dalam buku “Budaya IPG”,semuanya atas nama pengukuhan integriti warga pendidik demi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang diimpikan,dari segenap pelosok negara,sekaligus mencorak hala tuju kecemerlangan pendidikan negara.

Lantaran itu,dalam usaha Memartabatkan Profesion Keguruan, integriti merupakan dorongan dalaman agar guru melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sebaik-baiknya serta berusaha meningkatkan keupayaan diri agar kesaksamaan pendidikan dinikmati bersama.

Sidang pendengar yang dikasihi sekalian,
Menerobos ruang atmosfera pemikiran,membawa kepada pragmatik kedua,
Guru Berilmu Melahirkan Modal Insan Kelas Pertama

Kehadiran seorang guru dalam mentamadunkan generasi pelapis bagaikan garam dengan gulai. Tidak boleh dipisahkan jika berkehendakan lauk yang menyelirahkan. Membentuk insan yang berilmu dan berketerampilan wajar melalui pendidikan yang dipertanggungjawabkan kepada guru.

Oleh itu, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 seharusnya disedari oleh warga pendidik agar sentiasa membudayakan ilmu untuk diperturunkan kepada anak watan. Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat terbuka luas, gerakan membaca diperkasakan, program rintis pemantapan profesionalisme guru diarusperdanakan, kemahiran dwibahasa ditekankan, penguasaan teknologi maklumat diutamakan agar guru mewariskan ilmu-ilmu yang terbaharu kepada generasi muda seterusnya diaplikasikan ke peringkat yang lebih tinggi.

Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan negara di tangga ke-14 daripada 142 buah negara dengan kadar literasi 95.7% dan indeks kebolehpasaran graduan 88.4%. Angka-angka ini,dapat dilonjakkan lagi hanya jika guru memasakkan prinsip menuntut ilmu biarlah dari buaian hingga ke liang lahad,membuktikan bahawa dengan semangat minda guru meneroka ilmu berguna, terbentuklah pelajar mentaliti kelas pertama menunjangi keadilan sosial teras gagasan 1Malaysia.

Hadirin yang dimuliakan,
Komponen ketiga di bawah lembayung frasa,
Guru Kreatif Menyemarakkan Inovasi.

Dalam mengharungi  ledakan dan hambatan globalisasi kini, usaha menyemarakkan suasana pengajaran dan pembelajaran perlu difikirkan sepertimana usaha yang mapan membolehkan Lopez Disequira menjumpai Tanjung Harapan. Justeru, guru berperanan penting dalam mengerakkan kreativiti dan inovasi dalam semua bidang di sekolah secara terancang seiring dengan peningkatan intelektual pelajar serta didampingi dengan pengetahuan yang semakin mencabar.

Maka dengan itu,adalah wajar untuk para guru memanfaatkan pelaksanaan Sekolah Bestari sebagai platform menjana revolusi intelek pelajar,memanifestasikan Smart Lab serta Projek Sekolah Net untuk tujuan pemerkasaan ilmu pengetahuan merentas kurikulum dalam kalangan pelajar sekaligus melatih generasi pelapis untuk mempraktikkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). 

Mengambil contoh,motivasi dan kreatifnya Korea Selatan yang berjaya memecahkan tembok dominasi muzik Barat dengan Gelombang Hallyu,maka adalah tidak mustahil untuk warga pendidik di negara ini mengambil pendekatan yang sama untuk menjulangi budaya inovasi glokal ke persada global.

Sidang pendengar yang dimuliakan,
Menelusuri denai berliku pasti berpenghujung,dilengkapi dengan komponen keempat,
Guru Bersahsiah,Pembina Negara Bangsa.

Peranan guru dalam usaha menyokong pembentukan tiga teras utama yang ditekankan dalam usaha pembinaan negara bangsa, iaitu memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangun sumber manusia bersesuaian dengan keperluan menghadapi globalisasi adalah sangat penting. Dalam konteks pendidikan, seseorang guru tidak boleh lari daripada memahami konsep dan teras utama yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Rukun Negara, Wawasan 2020, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan Misi Nasionalnya.

Maka, tunjangnya adalah guru itu sendiri harus menjadi teladan kepada para pelajar. Kempen budi bahasa giat dijayakan, sekolah wawasan diperkuatkan bahkan pembinaan sahsiah dimantapkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa yang akhirnya menjadi asas untuk mencapai wawasan negara.

Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun 11.1% dan indeks keamanan global meletakkan Malaysia di tangga ke-20 paling aman daripada 158 buah negara, apakah yang memungkinkan semua ini berlaku? Pastinya nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan yang kuat didukungi oleh guru mampu menyuburkan pembinaan negara bangsa yang gemilang ke arah kejayaan gagasan 1Malaysia dan aspirasi negara.

Sidang saksi bermisi,

Pada penghujung bicara,jelas tertera, tatkala profesion yang mulia ini diperdanakan kemenjadiannya, maka impaknya dunia pendidikan negara yang dulu malap sinarnya, kini beransur terang bersuluh cerah.  Pada hari ini, harapan pada guru dengan kompetennya pedagogi di dada,impian kita adalah untuk menjelmakan rakyat berilmu yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan bangsa yang kecundang, pincang dan terbuang . Ingat, jangan biar ayam direban disambar helang, jangan biarkan padi di tangan menjadi lalang, mari bangkit dan sama-sama berjuang ke arah negaraku yang semakin gemilang. Maka,benarlah apa yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia,Tun Dr. Mahathir Mohammad “Jika ingin menjulang api kemajuan,nyalakan ilmu sebelum berjuang,”

Sekian,putera bervisi mohon permisi.

Dari kiri : Stenley (budak Dip, Applied Sc UiTM),
Syafiq (lepeh Dip. Ladang UiTM),Asyraf (mamat Fizikal 3
ASASI UNIMAS 5th Batch),dan Arie (budak IPG Terengganu
berangan nak jadi macam ayah aku)





Tiada ulasan:

Catat Ulasan