Mengkaji Fakta Sebagai Suatu Kepuasan Sementara

By Eppy Ismail - 9:17 PTG

Assalamualaikum.

Entri kali ini mungkin kedengaran agak formal dari entri sebelumnya. Jika ingin mengenaliku dengan lebih dekat,teruskan pembacaan. :)

Aku teringat pada kenangan semasa aku menyertai pertandingan bahas masa masih di bangku sekolah menengah dulu. Pada masa tu,aku dikehendaki untuk merangka teks perbahasan secara berkumpulan dan mengarang sendiri teks itu secara individu. Tetapi kekadang aku menjadi sukarela kepada para menteri dalam barisan kerajaan dalam kabinet pertandingan mahupun rakan pembangkang dalam pucuk kepimpinan untuk menyiapkan teks perbahasan. 

Aku menggalas tugas sebagai seorang Perdana Menteri ataupun sebagai Ketua Pembangkang. Dalam banyal-banyak menteri,aku yang paling banyak mencelah dan paling aktif berfikir tentang soalan bidasan yang mungkin boleh membunuh pihak lawan. Kadang-kadang juga boleh memakan diri sendiri sebab terlalu bersemangat sehingga aku tidak menyedari bahawa aku kalah secara psikologi. Cikgu aku menganggap bahawa menteri ketiga atau pembangkang ketiga adalah patut dipilih daripada calon pelajar yang gaya percakapannya kelas sederhana. Tapi bagi aku,menteri ketiga atau pembangkang ketiga adalah senjata utama untuk mengubah fikiran pihak hakim. 

Menteri ketiga sepatutnya membidas,mematahkan hujah lawan,dan sepatutnya merupakan seorang yang sangat inkuiri dan memiliki ciri-ciri seorang pemberontak yang sering mempersoalkan setiap tindak tanduk yang dirasakannya tidak betul. Memutar belitkan fakta merupakan kepakaran perdana. 

Aku diletakkan dalam jawatan yang sedikit sukar pada mulanya. Menggalas tugas untuk menyiapkan semua teks dan mengarang teks penggulungan dalam jangka masa 5 minit yang diberikan. Mungkin kerana kepantasan aku mengarang dan ucapan merapu yang kedengaran seperti betul tapi aku sendiri haram faham apa yang aku sendiri perkatakan menjadi suatu kelebihan untuk menjadikan aku terpilih. Memang pada suatu ketika semasa sesi latihan,aku ingin menukar posisi tapi aku tidak percaya dengan kemampuan rakan sendiri untuk menggalas tugas sebagai seorang Perdana Menteri. Perdana Menteri yang lemah akan memberi tanggapan yang kurang memberangsangkan kepada hakim. Tanggapan yang kurang memberangsangkan akan menurunkan peluang untuk menang. Jadi,aku terpaksa mengalah.

Tetapi sepanjang tempoh latihan,aku sangat gemar untuk mengkaji fakta yang sahih dari internet mahupun majalah dewan ataupun suratkhabar. Kajian melalui buku-buku juga dianggap masih relevan walaupun mengambil masa yang lama untuk dianalisis. Tetapi tetap buku adalah sumber fakta yang terbaik kerana segala-galanya dipastikan kesahihan sebelum diterbitkan. 

Melalui kajian,aku dapat merasakan suatu kepuasan. Kepuasan sementara apabila aku berasa ilmu dalam sesuatu hal yang aku kaji itu berada di tahap yang sedikit tinggi dari orang lain. Kepuasan sebab aku tahu sesuatu yang orang lain tak tahu. Kepuasan sebab aku ada modal untuk bercakap tentang sesuatu hal berbekalkan pembuktian. Wahh. Pada masa itulah,kepuasan itu timbul.

Bila aku mengkaji sesuatu,aku seperti mahu terus mengkaji dan mencari selagi segala persoalan belum terungkai. Sepert ketagihan amphetamine atau morfin. 

Tetapi malangnya,setelah habis kajian dibuat,dan setelah merasa kepuasan itu,aku akan beransur lupa akan kajian itu dan tahap ilmu kembali pada paras sebelumnya. Mungkin ada sesetengahnya yang masih aku ingat,tapi kebanyakan aku sudah lupakan. 

Sebab aku anggap kajian itu sebagai suatu kepuasan. Mungkin lepas ini aku harap kegemaran aku ini boleh aku jadikan sebagai bekalan untuk mencapai cita-cita menjadi seorang penyampai berita. Mungkin bukan sekadar satu kepuasan,tetapi boleh aku jadikan sebagai ilmu pengetahuan yang berguna. 

  • Share:

You Might Also Like

1 67 komplen